cayunk kam0o

... بسم الله الرحمن الرحيم ... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Get This Wan Hazel Home Wan Hazel Profile Wan Hazel Facebook

Friday 19 August 2011

Layakkah Aku Menjadi Permaisurinya






Batrisya. Gadis pujaan para teruna. Jika ada kata-kata untuk menggambarkan kecantikan dan keayuannya, pasti bait-bait ini menjadi pilihan. Wajahnya sebujur sirih, alis matanya lentik, pipinya bak pauh dilayang, bibirnya merah delima, rambutnya hitam ikal mayang
Siapa tidak kenal Batrisya? Pujaan jejaka dari kampung hulu hinggalah ke kampung seberang. Ada yang sanggup merantau dari bandar ke pekan hanya semata-mata untuk menyaksikan sendiri keindahan dan kecantikan Batrisya yang sering menjadi topik perbualan hangat setiap jejaka yang telah terkena panahan matanya. Mata yang sering kali melemparkan kerlingan manja sehingga mamak yang tengah buat roti canai pun boleh tersalah menu.
" Assalamualaikum"
Lontaran suara yang matang tersebut segera menarik perhatian Batrisya untuk melihat pemiliknya. Dia segera membetulkan rambutnya yang dibiarkan lepas separas bahu.
"Waalaikumsalam"
" Alangkah manisnya jika susuk yang indah ini dipelihara daripada pandangan ajnabinya"Jawapan yang sememangnya dinantikan oleh jejaka yang sedari tadi tercegat di atas tangga rumahnya. Tersentak jejaka tersebut apabila terlihat olehnya akan susuk yang begitu indah lagi menawan. Di dalam hati kecilnya berbisik
" Astarghfirullahalazim.... apa yang aku fikir ni?" Jejaka tersebut beristighfar panjang. Betapa dia tadi telah tergoda oleh jelingan mata tersebut yang hanya merupakan panahan syaitan semata-mata. Dia segera menundukkan pandangannya. Dengan nada yang agak tegas dia pun bersuara.
" Ustaz Jamil ada?"
Dengan suara yang sengaja dilembutkan, Batrisya menjawab persoalan tersebut sambil matanya cuba menangkap pandangan jejaka tampan yang sedang berdiri di hadapannya.
" Ayah tidak ada di rumah. Dia baru saja ke masjid. Ada urusan di sana. Masuklah dahulu"
Urusan yang sememangnya dia sendiri tidak pasti kerana dia sendiri pun sudah tidak ingat bila kali terakhir dia menjejakkan kaki ke masjid yang hanya beberapa minit sahaja jauhnya dari rumahnya.
" Masuk? Ah! Tidak mungkinlah! Tidak mungkin aku menceroboh masuk ke dalam rumah seorang wanita yang haram bagiku" bisik hati kecilnya dengan penuh ketegasan.
" Tidak mengapa. Kalau sudah begitu, saya akan ke masjid sahaja. Terima kasih"
dia segera berlalu pergi tanpa menghiraukan Batrisya yang masih memerhatikan setiap langkah kakinya.
Selama ini, tidak ada seorang jejaka di kampung tersebut yang mampu memiliki cinta Batrisya. Biar diberikan tanah sedunia dan selautan emas sekalipun, Batrisya tidak mudah menyerahkan cintanya kepada mana-mana jejaka yang cuba memilikinya. Sudah hampir sekampung pinangan datang kepadanya, namun tidak ada satu pun yang menarik perhatiannya. Dia lebih selesa hidup membujang dan membuat lelaki-lelaki tersebut mabuk kepayang dan sakit rindu kerana terlalu ingin memilikinya. Dia berasa bangga apabila dipuja sebegitu.
Tetapi, sejak kemunculan jejaka tersebut yang tiba bagai angin lalu pada hari itu, Batrisya menjadi tidak keruan. Tidurnya sekejap ke kiri,sekejap ke kanan. Makannya tidak pernah kenyang dan perubahan pada puteri tunggal kesayangannya itu memang ketara sekali pada pandangan mata Ustaz Jamil.
Pada suatu malam yang sepi, setelah selesai solat berjemaah di masjid,Ustaz Jamil segera pulang ke rumah. Pada kebiasaannya, dia akan terus duduk di masjid sehingga larut malam sambil membincangkan urusan-urusan di kampung yang sudah sememangnya menjadi tanggungjawabnya sebagai ketua kampung. Tidak lupa juga dia memberi tazkirah pendek buatsantapan rohani setiap jiwa yang hadir untuk solat berjemaah. Tetapi, perasaannya kali ini tidak enak. Perubahan sikap Batrisya sangat merisaukan baginya. Dia melangkah pantas meredah angin malam.
Setibanya di rumah, dilihatnya Batrisya duduk termenung di tepi tangga. Hampir setiap malam Batrisya duduk di situ sambil memerhatikan bulan yang sememangnya pada waktu itu sedang mengambang penuh. Perlahan-lahan Ustaz Jamil menghampiri puteri kesayangannya itu.
Sejak pemergian isteri tercinta, Batrisya, yang selalu menjadi peneman dan penghibur Ustaz Kamil. Sungguh kasihnya dia pada Batrisya sehingga dia tidak pernah sanggup untuk menjentik anak itu walau sekalipun. Kedegilan Batrisya ketika diajak menunaikan solat juga tidak mampu ditanganinya.
Ustaz Jamil sedar, sebagai seorang bapa, betapa dia telah gagal mendidik anaknya menjadi wanita solehah sesuai pesanan arwah isterinya, dan kerana itulah dia menangis dan meratap sedih setiap kali dirinya datang "mengahadap" Allah. Bukan dia tidak mahu anaknya menjadi seorang mujahidah, dia cuma terlalu sayangkan Batrisya sehingga sebesar apapun kesalahannya, Ustaz Jamil tidak sedikitpun memarahi Batrisya. Walaupun begitu, setiap malam, Ustaz Jamil akan memberikan peringatan dan menceritakan pelbagai kisah Ummul Mukmininbuat Batrisya kerana Batrisya sangat suka akannya.
Dan seperti biasa, pada malam itu, Ustaz Jamil berhajat untuk meneruskan ceritanya yang masih bersisa semalam. Dia duduk di sisi Batrisya kemudian menatap wajah ayu persis isterinya itu. Dia tersenyum sendiri terkenangkan saat dia dan isterinya duduk di tangga itu 10 tahun yang lalu. Tidak ubah seperti hari ini. Sungguhpun bertahun dia menanggung derita atas pemergian ratunya, dia tetap bersyukur kerana Allah masih menyayanginya dengan mengurniakan sebutir permata yang baginya begitu indah dan berharga.
" Abah, bulan itu cantik kan?" bisik Batrisya perlahan sambil matanya masih memerhatikan bulan yang nun jauh di sana. Tidak berkelip sedikitpun.
Ustaz Jamil segera mengalihkan pandangannya ke arah bulan tersebut. Lama dia berfikir sambil menatap bulan tersebut. Setelah hampir sepuluh minit, Ustaz Jamil pun bersuara.
"Cantik, nak. Bila bulan mengambang penuh macam ni, lagi cantik. Cuba lihat pula pada bintang-bintang yang mengelilingi bulan itu. Bintang pun tak kurang cantiknya. Tanpa bintang-bintang tu, bulan takkan tampak secantik dan semegah itu"
Ustaz Jamil mengatur ayat-ayatnya lagi. Malam ini, dia berhasrat untuk menyampaikan sebuah berita besar buat Batrisya. Berita yang dia sendiri pun tidak tahu akan penerimaannya nanti. Dia bersuara lagi.
"Batrisya...Bulan yang mengambang penuh dan cantik tu samalah seperti kaum wanita yang telah diciptakan oleh Allah di muka bumi ni. Diciptakan dengan fizikalnya yang menarik dan memang indah pada pandangan lelaki. Tetapi, setakat itu sajalah cantiknya. Sama seperti bulan tanpa cahaya bintang. Tidak akan jadi seindah bulan pada malam ini.
Tapi, bulan pada malam ni, dipagari dan dikelilingi oleh bintang-bintang yang gemerlapan sinarnya, tidak ubah seperti wanita-wanita yang menutup segala anugerah Allah itu dengan pakaian yang sepatutnya, yakni pakaian yang menutup aurat. Tidak ketat, tidak nipis, tidak jarang, tidak pula terlalu terang sehingga menarik perhatian mata-mata yang memandang. Wanita-wanitaseperti itulah yang paling cantik Batrisya. Seperti cantiknya bulan yang dipagari bintang"
Hati kecil Batrisya tiba-tiba tersentuh apabila mendengarkan kata-kata ayahnya yang penuh bermakna itu. Dia cuba mencernanya perlahan-lahan dan kemudian menatap mata ayahnya dalam-dalam. Kemudian merenung semula ke arah bulan tersebut.
"Batrisya, abah ada sesuatu nak beritahu ini. Hari tu, waktu abah masih di masjid, ada pemuda datang jumpa abah. Taufik namanya. Budak itu baik orangnya, nak. Dari gaya dan cara dia membawa diri, abah tahu dia seorang pemuda yang soleh. Dah beberapa hari ni abah perhatikan dia. Solat jemaah di masjid tak pernah tinggal. Rajin pulak membantu orang-orang kampung membersihkan masjid tu. Hari tu, ayah terdengar dia bertarannum di masjid. Bagus sekali, nak. Orangnya sopan dan lemah lembut. Kalau boleh"
Belum sempat pun Ustaz Jamil menghabiskan ayatnya, Batrisya sudah mula memotong.
"Apa dia abah? Abah nak jadikan dia menantu abah ke? Abah, cuba abah fikir baik-baik. Layak ke perempuan macam Batrisya ini jadi pendamping lelaki soleh macam dia, abah? Solat pun sekali-sekala. Al-quran? Tak usahlah abah cerita. Dah bertahun agaknya Batrisya tak baca. Dah tak tahu kat mana Batrisya simpan. Pakai tudung pun tidak. Menutup aurat? Jauh sekali. Layak ke Batrisya untuk orang macam itu, abah?"
Dengan nada keras dan linangan air mata, Batrisya mengucapkan kata-kata tersebut. Dia sedih apabila mengenangkan segala kelemahan dan keburukan dirinya. Sedih apabila mengenangkan dirinya yang tidak pernah sekalipun "bertemu" Allah dalam tahun itu. Sedih apabila mengenangkan segala-galanya, tentang dirinya. Sungguh telah lama dia tersesat dan menjadi seorang pendosa. Cerita ayahnya mengenai bulan dan wanita menambahkan lagi kesedihannya.
Sungguh selama ini dia telah membiarkan dirinya menjadi mangsa pandangan mata-mata yang dipenuhi penyakit zina itu. Sungguh dia selama ini membiarkan susuknya yang menawan menjadi santapan bagi penagih-penagih cintanya. Terlalu banyak dosanya sehingga tidak terhitung lagi. Bukan dia tidak mahu berubah. Dia cuma takut akan pandangan orang-orang kampung terhadapnya nanti. Apa kata orang kampung andainya Batrisya yang selama ini dipuja-puja atas kecantikan dan keayuannya menutup semua anugerah itu dengan pakaian yang akan menghalang setiap mata yang cuba menembusinya? Dia cuma terlalu malu dan takut untuk berubah.
Taufik pula.Jejaka yang jauh sekali tinggi darjatnya berbanding dirinya yang lemas dibelenggu kesesatan yang dia ciptakan sendiri. Tidak perlu baginya untuk menemui dan mengenali Taufik sendiri. Dari cerita ayahnya sahaja dia sudah tahu betapa berbezanya dia dengan Taufik.Bagai langit dan bumi. Jejaka yang soleh seperti Taufik sesuaikah menjadi teman hidup seorang pendosa sepertinya? Dia tidak pernah lupa akan janji Allah buat seluruh umat manusia yang selalu disebut-sebutkan oleh ayahnya.
"Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik(pula)" (an-Nur 24:26)
Taufik sudah pastinya seorang lelaki yang baik. Tapi, dirinya? Siapa dirinya? Dia hanya seorang perempuan yang dia kira selayaknya menjadi milik lelaki-lelaki yang seringkali memuja dirinya kerana kecantikan yang dia tonjolkan jauh panggang dari api! Tidak mungkin lelaki seperti itu mahu, andainya wanita sepertinya menjadi suri hidup mereka.
Hanya akan memburukkan nama dan menjatuhkan maruah sahaja. Batrisya masih mendiamkan diri dengan deraian air mata. Menyesali segala kesilapan dan dosanya terhadap Yang Maha Esa. Dosanya terhadap Sang Pencipta yang telah mengurniakan dirinya dengan anugerah yang menjadi igauan wanita-wanita lain di kampung itu. Kecantikan. Itulah anugerah milik Allah yang selama ini telah dia cabuli dengan menonjolkannya buat tatapan lelaki lain selain lelaki yang selayaknya. Tidak lain tidak bukan, Suaminya.
"Ya Allah. Hamba berdosa pada-Mu. Masihkah lagi ada ruang di sisi-Mu buat hamba yang hina dan jijik ini?" ratap Batrisya tanpa menyedari bahawa Ustaz Jamil masih lagi ada di sisinya.
Batrisya sudah tidak kuasa untuk menatap bulan itu lagi. Setiap kali memandang bulan tersebut, dia akan merasa betapa ruginya dia sebagai seorang wanita yang telah menjual harga dirinya. Dia bangun perlahan-lahan lalu menaiki tangga rumahnya satu-persatu. Tiba-tiba, langkah lemahnya terhenti. Ustaz Jamil menarik lembut tangan mulus anaknya itu.
" Duduk sekejap,nak. Abah belum habis cerita lagi"  lembut tuturan Ustaz Jamil.
Batrisya segera melabuhkan punggungnya di atas tangga itu semula. Dia masih mendiamkan diri.
" Batrisya. Semalam Taufik datang jumpa Abah. Dia cakap" kata-kata Ustaz Jamil terhenti di situ seketika. Gugup juga untuk meneruskan ayatnya.
"Dia nak ambil Batrisya menjadi isterinya"
Batrisya yang sedari tadi mendiamkan diri terkejut. Mungkinkah dia tersalah dengar? Ah! Tak mungkin!
" Dia nak Batrisya menjadi suri hidupnya. Dia nak Batrisya jadi makmum yang akan dia imamkan di setiap solatnya. Dia nak Batrisya menjadi ibu kepada anak-anak yang bakal dia azankan nanti. Dia nak Batrisya jadi isteri yang akan dia bimbing dalam mengejar redha Ilahi"
Mengalir deras air mata Batrisya mendengar kata-kata lelaki separuh abad yang berada di depannya itu. Sungguh tidak pernah dia menyangka bahawa jejaka seperti itu akan memilih wanita sepertinya.
"Tapi, Abah, Batrisya tak"
Dia tidak segera menghabiskan kata-katanya. Pasti ayahnya sudah tahu apa yang bakal dia katakan.
" Jangan begitu, nak Dia ikhlas. Dia terima Batrisya seadanya. Abah tahu dia akan pimpin kau dengan baik, nak. Abah yakin pada dia. Jangan kau tolak lamarannya hanya kerana kau fikir kau tidak layak buatnya. Kerana kelemahanmu itulah kau perlukan pemimpin sepertinya. Percaya cakap abah, nak. Jangan sampai kau menyesal di kemudian hari"
Ustaz Jamil mematikan kata-katanyanya di situ. Kini, segalanya ada di tangan Batrisya. Tidak pula dia ingin memaksa Batrisya. Dia ingin Batrisya bahagia.
Merah pipi mulus Batrisya apabila Taufik memberikan kucupan hangat di dahinya pada hari mereka diijabkabulkan. Sungguh tidak dia sangka lelaki yg baru dia temui sekali, kini sudah sah menjadi suaminya. Pada saat itu juga, Batrisya merasakan cinta yang begitu besar lahir dari hatinya. Tulus dan suci buat Taufik satu-satunya.
Di dalam hati dia mengucapkan syukur yang tidak terkira tingginya ke hadrat Ilahi kerana menghadirkan seorang insan mulia dalam kehidupannya. Semoga dengan kehadiran lelaki mulia yang kini bergelar suaminya, mereka sama-sama dapat menjejak dan mencari cinta yang paling agung itu. Cinta yang tidak ada tandingnya. Cinta Ilahi.
Di dalam hati kecilnya berbisik.
"Kaulah kebahagiaanku ketika di dunia. Kau jugalah kebahagiaanku nanti di sana. Redhakanlah aku menjadi isterimu. Agar kita dapat bertemu dan bercinta semula di syurga." Mengalir air mata kasihnya tatkala merenung cincin di jari manis yang menjadi tanda ikatan cinta mereka berdua.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...